Rayuan Boleh Dibuat jika gagal tuntut eMadani


 

PETALING JAYA – Orang ramai yang gagal untuk menebus bantuan kredit eMadani berjumlah RM100 masih memiliki beberapa saluran untuk membuat rayuan menerusi penyedia e-dompet terlibat.

Laman bantuan e-dompet Setel mencadangkan supaya pengguna mencuba lagi selepas lima minit sekiranya tuntutan ditolak atau gagal disebabkan ralat sistem.

Ia juga menyenaraikan lima sebab tuntutan ditolak, namun sekiranya pengguna mempunyai bukti bahawa maklumat tersebut salah, mereka boleh membuat rayuan dengan mengemukakan dokumen sokongan melalui aplikasi Setel.

Lima sebab tersebut adalah kerakyatan tidak diiktiraf; nama dan nombor kad pengenalan tidak sepadan; nombor kad pengenalan tidak sah; rekod tidak dijumpai di Jabatan Pendaftaran Negara; dan penuntut tidak berumur 21 tahun pada 1 Januari 2023.

“Namun jika tuntutan ditolak disebabkan telah menuntut kredit eMadani dengan e-dompet lain; pernah menerima eBeliaRahmah; tempoh tuntutan telah tamat; dana telah melebihi jumlah tuntutan; atau dana tidak lagi boleh dituntut melalui Setel, maka anda tidak boleh membuat rayuan,” katanya.

Sementara itu, laman bantuan Shopee berkata, sekiranya permohonan ditolak, penuntut boleh menghubungi Khidmat Pelanggan Shopee untuk mendapatkan bantuan lanjut.

“Anda mungkin perlu menyediakan maklumat tambahan untuk memudahkan proses tersebut.

“Sila ambil perhatian bahawa anda hanya boleh membuat rayuan sebelum 20 Februari 2024,” jelasnya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, bantuan yang dilaksanakan secara sekali bayar (one-off) itu dibuka mulai 4 Disember hingga 20 Februari 2024.

Ia merupakan inisiatif daripada Kementerian Kewangan (MoF) dilancarkan bertujuan menggalakkan ekonomi digital dan memupuk budaya pembayaran tanpa tunai, memanfaatkan 10 juta rakyat dewasa yang layak dengan peruntukan RM1 bilion

Post a Comment

0 Comments